Saturday, November 29, 2008

Quotes No. 3

Assalamualaikum dan salam sejahtera para bloggers sekalian,

1. Hari ini orang Melayu diasak oleh segelintir pemimpin politik bukan Melayu yang mahu segala dasar pro bumiputera dihapuskan. Alasan mereka dalam zaman globalisasi ini, dasar-dasar yang membantu kaum atau golongan yang lemah atau "kurang kuat" untuk bersaing sebagai sesuatu yang tidak sihat dan menjadikan ekonomi negara tidak kompetitif.

2. Bagi kumpulan ini, apa sahaja keistimewaan atau dasar pro Bumiputera haruslah dihapuskan sepenuhnya. Mereka mahu orang Melayu dan Bumiputera bersaing sendiri tanpa mengambil kira bahawa orang Melayu telah ditindas selama lebih 400 tahun oleh penjajah.

3. Malahan kumpulan ini juga mengabaikan fakta bahawa 100 tahun terakhir sebelum merdeka juga penjajah British memberi banyak ruang kepada kaum imigran untuk membentuk perniagaan mereka. Manakala kaum pribumi dicurigai sebagai pejuang kemerdekaan dan "pengacau" pentadbiran Kerajaan Inggeris.

4. Apabila merdeka sehingga tahun 1970, orang Melayu sukar bersaing dalam bidang perniagaan, pendidikan dan pekerjaan kerana ketiadaan ruang dan peluang. Peluang perniagaan ketika itu banyak dimnopoli oleh kaum Cina yang telah lama bertapak membina rangkaian perniagaan sesama mereka. Peluang pendidikan tinggi kepada orang melayu juga terhad kecuali di kalangan anak-anak kerabat diraja dan beberapa kerat orang kaya Melayu.

5. Gabungan ketiadaan peluang dalam bidang perniagaan dan pendidikan menyebabkan orang Melayu hanya menjadi peon, kerani dan guru sekolah biasa. Selepas kemunculan DEB lah orang Melayu mula diberi peluang untuk mendapat pendidikan yang lebih baik sehingga ramai layak memasuki universiti tempatan dan luar negara.

6. Hari ini kehidupan orang Melayu sudah jauh berbeza. Golongan Melayu kelas menengah sudah menjadi satu pandangan biasa di negara ini. Sungguhpun orang Melayu sudah berjaya menjadi usahawan, golongan profesional dan pentadbir tinggi, namun ia masih jauh dari matlamat DEB.

7.Harapan untuk melihat Melayu dan bumiputera menguasai 30% kekayaan negara belum tercapai lagi. Menguasai hanya 30% walaupun jumlah penduduk pribumi mencecah 70% merupakan satu permintaan yang amat konservatif dan rendah diri. Namun itulah sifat orang Melayu yang merupakan kaum majoriti peribumi negara ini.

8. Malangnya, ini pun mahu dipertikaikan. Alasan mereka setelah lebih 30 tahun DEB masih gagal memenuhi matlamat 30% tersebut, jadi elok dihapuskan semua polisi yang membantu bumiputera.

10. Hari ini dikatakan orang Melayu dan bumiputera hanya menguasai 18% kekayaan negara. Sudahlah masih belum mencapai matlamat, ada pula yang mahu ia dihapuskan terus. Sepatutnya pemimpin politik ini cuba mencari jalan untuk membantu kaum bumiputera mencapai sasaran 30% yang dirancang oleh DEB bukannya mencari jalan untuk merebut jumlah yang 18% ini pun.

11. Mungkin orang Melayu sendiri perlu bertanya semula, siapakah yang mengambil 12% lagi kek ekonomi yang sepatutnya milik bumiputera. Saya tidak berniat menyalahkan kaum lain dalam isu kegagalan memenuhi sasaran 30% penguasaan ekonomi ini. Cuma saya fikir tidak wajar pemimpin bukan Melayu mempersoalkan isu ini.

12. Orang Melayu sendiri tidak menerima bantuan yang banyak dari kerajaan. Sebaliknya mereka menerima banyak peluang dari kerajaan bagi membantu mencapai sasaran DEB ini. Peluang-peluang ini perlu kerana terdapat usaha sejak dahulu lagi menghalang secara senyap pembabitan bumiputera dalam perniagaan, pembinaan, peruncitan dan sebagainya.

13. Ini berlaku kerana terdapat hanya satu kaum yang menguasai rangkaian ekonomi sama ada dari segi pembekalan, pemborong, peruncit mahu pun kekuatan kuasa beli. Tanpa campurtangan kerajaan melalui DEB untuk membuka ruang dan peluang pasti orang Melayu akan terus ketinggalan biarpun berkebolehan.

14. Sungguhpun ada suara-suara yang memutarkan istilah-istilah ekonomi yang mengujakan mengenai sistem yang lebih terbuka dan isu persaingan yang sihat, namun saya melihat cadangan ini tidak lebih daripada kembali ke zaman dahulu, yang Kuat Menjadi raja, Yang Lemah Menjadi Mangsa.

15. Dasar membantu orang Melayu dan bumiputera harus diteruskan bagi mewujudkan keseimbangan ekonomi dan stratafikasi sosial antara kaum.

16. Namun dalam keadaan yang sama kerajaan juga harus mempunyai dasar "membantu" golongan miskin kaum lain secara lebih sistematik. Dengan ini, selain memperbaiki jurang kekayaan antara kaum, jurang pendapatan antara miskin dan kaya juga dapat dirapatkan.

17. Usaha ini perlu kerana jika terdapat kumpulan yang terpinggir dari menikmati kekayaan negara maka akan wujud juga pelbagai gejala sosial dan jenayah seperti ragut, kongsi gelap, vandalisme dan pelacuran.

18. Ini merupakan cabaran kepada Barisan Nasional pada masa akan datang. BN harus mencari satu formula baru yang bukan sahaja merapatkan jurang pendapatan antara kaum tetapi juga jurang "nikmat kehidupan" antara kelas masyarakat. Dengan kata lain, hati gajah biarlah kita sama lapah, hati nyamuk sama dicicah. Sikit sama rasa, banyak sama kenyang.

Copy Paste From : http://www.drkhir.com/

No comments: